2011年3月31日

PA Presentation (=.=) Perindustrian Kecil dan Sederhana (IKS)

我今天的Pengajian Am Presentation  
Perindustrian Kecil dan Sederhana (IKS) 
 PENGENALAN
Dewasa ini, Perindustrian Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan dan memberi sumbangan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Apa maksud Perindustrian Kecil dan Sederhana? IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Teras Pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-9 menyatakan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara melalui pembangunan perindustrian kecil dan sederhana. Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap.  
Peranan IKS
 Satu perkara yang sering diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya meningkatkan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian memandangkan IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Hal ini secara terus dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS. Selain itu, peranan IKS sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut. Bagi sejumlah modal yang kecil juga sukar bagi seseorang pengusaha mendapat faedah yang sama dalam firma besar. Peluang pekerjaan dalam IKS ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja terlibat. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi. Di samping itu, IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa. Hasilnya, struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat. IKS dapat memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran. Tambahan lagi, hubungjalin yang sesuai boleh memberi faedah penting dari segi perpindahan teknologi, peningkatan kualiti barangan, produktiviti, latihan dan kemahiran kepada pengusaha dan pekerja di samping mempercepatkan pembinaan struktur asas perindustrian negara dengan lebih baik. IKS juga penting dalam menambahkan tabungan dan pelaburan dalam ekonomi.Dalam mengagihkan pendapatan di kalangan penduduk, dalam memberikan latihan dan pengembangan kemahiran untuk pekerja dan pengusaha, dalam membantu memperkukuhkan struktur asas industri nasional, dalam mempertingkatkan hubung jalin dengan firma besar dan multi-nasional dalam ekonomi dan dalam menyediakan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh firma-firma besar dan multinasional. Atas sebab ini, kepentingan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan ekonomi negara mendapat pengiktirafan yang meluas. KEKANGAN
 Kekangan dan kesukaran produk yang dihasilkan oleh pengusaha perindustrian Kecil dan Sederhana (IKS) memasuki pasar raya-pasar raya besar sedikit sebanyak menyukarkan pengusaha IKS untuk memasarkan barangan keluaran mereka. Banyak alasan yang diberikan oleh peniaga pasar raya–pasar raya seperti barangan tidak berkualiti, kaedah pembungkusan yang tidak sesuai dan menarik atau gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan merupakan antara faktor yang menyekat kemasukan produk IKS ke dalam pasar raya besar asing dan tempatan di negara ini. Masalah permodalan orang yang berminat untuk melibatkan diri dalam IKS. Kebanyakan pemuda-pemudi yang berniat untuk memulakan perusahaan dalam IKS adalah graduan yang baru keluar daripada institusi tinggi.Walaupun mereka telah mempunyai kemahiran dan strategi yang baik untuk memajukan IKS,tetapi mereka belum bekerja dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memulakan pengusahaan dalam IKS.  
Langkah-langkah
  Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif .Salah satu langkah drastik yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. Contohnya: Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur ,Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya, Wilayah Persekutuan,Skim geran penyelidikan dan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Cyberjaya Selangor.Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju. Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan.Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan.Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan. Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS.Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan.Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara. IKS memerlukan perlaksanaan pengurusan yang lebih tersusun berbanding dengan firma besar. Hal memandangkan IKS memiliki sumber tabungan modal dan sumber pekerja yang terhad dan yang secara jauh lebih kecil berbanding dengan firma besar bertaraf multinasional. Justeru itu, IKS lebih memerlukan perlaksanaan sistem pengurusan yang berkesan bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam operasi mereka. Dalam hubungan ini, IKS bukan sahaja memerlukan pengurusan, tetapi perlaksanaan sistem pengurusan yang berkualiti tinggi. Usahawan IKS perlu mengenalpasti keutamaan-keutamaan dari segi pengagihan sumber kepada aspek operasi yang lebih memerlukan dan merancang aspek yang kurang memerlukan perhatian bagi perancangan masa depan. Keberkesanan perlaksanaan pengurusan IKS dalam hal ini, banyak bergantung kepada sifat-sifat usahawan yang merupakan kunci bagi menentukan hala tuju perlaksanaan pengurusan dalam perniagaan IKS.
Penutup
Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara.Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara .

没有评论: